
Pendahuluan
Bahagian ini akan membincangkan perbahasan yang berkaitan  dengan penubuhan Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch), dan saya  membahagikan perbahasannya kepada beberapa bab, iaitu :
1.  Pengenalan Baby Hatch
2. Hubungkait Dengan Maqasid Syariah
3.  Beberapa Percanggahan Dengan Maqasid
4.  Fiqh Muwazanat Dalam Perbahasan Ini
5.  Kesimpulan
Kelima-lima perkara ini mempunyai  hubungkait yang sangat rapat dalam perbahasan tentang Pusat Perlindungan  Bayi ini. Perbahasan ini sekadar membincangkan tentang Pusat  Perlindungan Bayi secara umum, tanpa mengaitkannya dengan mana-mana  pertubuhan.
Pengenalan  Baby Hatch
Pusat Perlindungan Bayi yang diperbahaskan  di sini ialah sebuah pusat yang memusatkan penjagaan bayi yang dibuang.  Maka, bayi yang tidak diingini oleh ibu mereka, akan dipusatkan di sini  bagi mengelakkan terbuang.
Antara fungsi utama pusat ini ialah :
1.  Bayi yang ditemui terbuang akan dipusatkan di bawah pusat penjagaan.
2.  Ibu bapa tidak mampu menjaga anak mereka, juga dipusatkan di bawah  pusat penjagaan ini.
(Sumber :  en.wikipedia.org/wiki/Baby_hatch)
Di  sana, beberapa buah negara telah pun menubuhkan pusat ini, antaranya  ialah :
1. Austria
2. Jerman
3. Republik  Czech
4. Perancis
5. Jepun
6. Britain
7. Pakistan
(Sumber  : en.wikipedia.org/wiki/Baby_hatch)
Contoh  pertubuhan yang telah menubuhkan pusat ini di Malaysia seperti  OrphanCARE bertujuan memusatkan penjagaan di bawah satu kelolaan bagi  bayi yang dibuang yang telah dilancarkan perasmiannya oleh Sultanah  Pahang, Sultanah Kalsom, baru-baru ini. 
(Sumber : Berita  Harian, 31 Mei 2010)
Hubungkait Dengan Maqasid Syariah
Maqasid Syariah ialah matlamat atau tujuan penetapan syariat.  Maka, syariat digariskan untuk menjaga kepentingan manusia, iaitu  menjaga 5 perkara yang berkaitan dengan manusia. Iaitu :
1.  Menjaga Agama atau pegangan manusia
2. Menjaga nyawa atau jiwa manusia
3. Menjaga akal manusia
4. Menjaga keturunan manusia
5. Menjaga harta dan hak milik manusia
Secara umumnya, syariat digariskan sebagai kepentingan manusia  (maslahat). Firman Allah SWT yang bermaksud :
Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Surah al Anbiya’ : 107)
(Dr Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah,  Mu’assasah ar Risalah, cet pertama, 2010, hal. 289)
Imam Izzuddin Abdul Salam berkata :
Sesungguhnya Syariat itu semuanya adalah kepentingan, samada menolak kerosakan, ataupun mendatangkan kepentingan.
(Izzuddin Abdul  Salam, al Qawa’id, jilid 1, hal. 9)
1.  Islam menjaga agama (maqasid pertama), iaitu menjaga pegangan manusia.  Maka, penubuhan pusat penjagaan bayi hendaklah tidak bercanggah dengan  maqasid ini, seperti penubuhan pusat penjagaan bayi sebagai satu  rancangan Kristianisasi. Perkara ini akan dihuraikan selepas ini. Insya  Allah.
2. Islam menjaga nyawa (maqasid  kedua), iaitu menjaga nyawa manusia. Bayi yang dibiarkan akan  menyebabkan kematian sekiranya tidak dijaga. Maka, penubuhan pusat  penjagaan ini bertepatan dengan maqasid syariah dari aspek “nyawa”.
3.  Islam menjaga keturunan manusia (maqasid ketiga), iaitu mengekalkan  kewujudan manusia di muka bumi. Bayi adalah generasi manusia yang perlu  dijaga dan diwujudkan. Maka penubuhan ini bertepatan dengan maqasid  syariah dari aspek “keturunan”.
Beberapa Perkara Yang Bercanggah Dengan  Maqasid
Memang tidak dinafikan, penubuhan Pusat  Perlindungan Bayi bertepatan dengan maqasid syariah, tetapi, harus  diperhatikan juga beberapa perkara yang bercanggah dengan maqasid  syariah, yang berkaitan dengan perbahasan ini. Iaitu :
1.  Pemimpin Yang Tidak Melaksanakan Hudud
Pemimpin  yang tidak melaksanakan hukum hudud, sehingga menyebabkan banyaknya  berlaku pembuangan anak hasil zina. Maka pemimpin yang tidak  melaksanakan hudud, telah bercanggah dengan syariat Islam. Ini kerana  pelaksanaan hukuman hudud adalah wajib ke atas pimpinan.
(sumber  : Dr Mustafa Khin, Dr Mustafa Bugho dan Syeikh Ali Syarbaji, Fiqh  Manhaji Ala Mazhabil Imam Syafie, cet. ke 8, Darul Qalam, 2007, jilid 3,  ms 538)
2. Mereka Yang Membuang Anak
Mereka yang membuang anak, atau menggugurkan kandungan lebih  daripada 4 bulan, hukumnya haram dan bercanggah dengan syariat. Perkara  ini telah dijelaskan di dalam Firman Allah SWT.
Maksudnya : Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (Surah al An’am : 151)
Daripada  ayat ini, menjelaskan tentang pengharamannya ( Dr Wahbah Zuhaili, at  Tafsir al Munir, Fil Aqidah Wasy Syari’ah Wal Manhaj, cet. 9 Darul Fikr,  jilid 4 ms 450-451). 
3. Menyokong Pimpinan Yang Tidak  Melaksanakan Hudud
Mereka yang menyokong pemimpin yang tidak  melaksanakan hudud atau tidak melaksanakan Islam, juga bercanggah dengan  syariat Islam. Pimpinan yang tidak melaksanakan hudud dikira sebagai  zalim, ini berdasarkan Firman Allah :
Maksudnya : dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir (Surah al Ma’idah : 44)
Di  dalam ayat 45 menyebut dengan perkataan “zalim”, dan ayat 47 menyebut  dengan perkataan “fasiq”. Jelas menunjukkan bahawa undang-undang Allah  ini adalah satu kewajipan yang wajib dilaksanakan.
Maka,  Allah SWT melarang manusia daripada menyokong orang yang melakukan  kezaliman. Firman Allah SWT :
Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Surah Hud : 113)
4. Mereka Yang  Bisu Daripada Menyatakan Kebenaran
Mereka  yang berdiam diri daripada menegur pemimpin yang tidak melaksanakan  hudud. Mereka ini juga telah bercanggah dengan syariat Islam, iaitu  “mencegah kemungkaran” adalah satu perkara yang wajib. Firman Allah SWT :
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah  Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah  Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu  dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Surah al  Baqarah : 159)
5. Mereka Yang Menghalalkan Zina
Mereka yang menghalalkan zina dengan alasan-alasan tertentu,  boleh menyebabkan terkeluar akidah. Kerana telah menghalalkan apa yang  telah diharamkan oleh Allah SWT.
Maksudnya : Mereka menjadikan  pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik  selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al Masih anak  Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah  Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia.  Maha Suci Allah dari apa yang yang mereka sekutukan (Surah at Taubah :  31)
(sumber : Kitab Syarah Showi Ala Jauharah  Tauhid, Syeikh Ahmad bin Muhammad al Maliki, cetakan ke 4, Darul Fikr  Damsyik, tahqiq Dr Abdul Fattah Bazzam, hal. 423)
6.  Mereka Yang Berzina
Mereka yang  berzina, juga bercanggah dengan syariat yang telah diharamkan oleh Allah  SWT. Firman Allah SWT :
Dan janganlah kamu menghampiri zina,  sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan  yang jahat (yang membawa kerosakan) (Surah al Isra : 32)
Maka, jelas di sini bahawa Penubuhan Pusat Perlindungan Bayi  adalah bertepatan dengan syariat, yang merupakan keperluan manusia.  Tetapi ia bukanlah jalan penyelesaian untuk membenteras gejala zina.  Bahkan terdapat kewajipan yang perlu berbanding penubuhan pusat ini.  Perkara ini akan diperjelaskan selepas ini.
Fiqh Muwazanat  Dalam Perbahasan Ini
Setelah kita  dibentangkan dengan persoalan tentang maqasid Syariah, di sini akan  melihat pula dari perspektif Fiqh Muwazanat, iaitu menimbang di antara  maslahat (kepentingan) dan mafsadah (kerosakan).
1.  Secara umumnya, kepentingan menjaga nyawa seseorang lebih penting  daripada memikirkan kemungkinan zina lebih berleluasa disebabkan  penubuhan pusat seperti ini.
Ini kerana  kepentingan itu dilihat lebih besar, berbanding kerosakan yang  mendatang. Maka, kita perlu mengutamakan kepentingan yang lebih besar,  berbanding kerosakan yang kecil.
2. Kerosakan yang kecil tersebut  (zina), perlu diselesaikan dengan hukuman hudud. Maka, melaksanakan  hukuman hudud itu lebih utama berbanding menubuhkan Pusat Perlindungan  Bayi.
Ini kerana melaksanakan hudud itu adalah  kepentingan yang lebih besar, berbanding penubuhan pusat ini. Iaitu  sekiranya bertembung di antara dua maslahat (kepentingan), maka perlu  diutamakan maslahat yang lebih utama.
3. Melantik  pimpinan yang melaksanakan Islam adalah wajib, dan kepentingan yang  begitu besar dalam menjaga maslahat. Maka, memperjuangkan pimpinan yang  akan melaksanakan Islam dengan sebenar-benarnya, lebih besar dan utama  berbanding menubuhkan pusat ini.
Maka, utamakan  apa yang perlu diutamakan. Iaitu, maslahat (kepentingan) melantik  pimpinan yang melaksanakan hukum Islam, lebih utama berbanding penubuhan  pusat ini. Tetapi, penubuhan pusat ini bukanlah bercanggah.
4.  Mencegah maksiat adalah wajib. Maka, mencegah maksiat lebih besar,  lebih diutamakan daripada mencegah maksiat yang kecil. Maka, mencegah  maksiat “tidak melaksanakan hukuman hudud” lebih wajib daripada mencegah  maksiat berzina atau buang anak.  (bukan bermakna tidak mencegah  maksiat kecil)
Maka, utamakan apa yang perlu diutamakan.  Sepertimana yang telah disebutkan, sekiranya bertembung di antara dua  kerosakan, maka perlu dihapuskan kerosakan yang lebih besar dahulu.  Bukan bermakna membiarkan kerosakan yang sedikit.
5.  Sekiranya terdapat bentuk serangan Kristianisasi dalam penubuhan Baby  Hatch ini, kita perlu menubuhkan pula Pusat Penjagaan Bayi di bawah  organisasi Islam. Ini kerana :
a)  Menyelematkan nyawa bayi adalah wajib dan selari dengan maqasid syariah.
b)  Menyelamatkan akidah dan pegangan bayi tersebut juga merupakan maqasid  syariah.
Maka, menubuhkan Pusat Penjagaan Bayi di  bawah organisasi Islam merupakan kepentingan (maslahat) yang utama,  selain daripada melantik pimpinan yang melaksanakan Islam.
6.  Penubuhan Baby Hatch ini adalah merupakan perkara yang “diperlukan  segera”, walaupun terdapat keutamaan yang lain. Maka, ia jangan  dilewat-lewatkan. Ini kerana perkara yang diperlukan segera walaupun  terdapat keutamaan yang lebih, maka perlu dilaksanakan perkara ini.  Tidak perlulah menunggu pemimpin melaksanakan Islam, barulah hendak  menubuhkan Pusat ini.
(Sumber : Dr Majdi Hilali, Min Fiqhil  Aulawiyat, cet. pertama Maktabah Darul Andalus, 2008 dan Dr Yusof al  Qaradhawi, Fi Fiqhil Aulawiyat, cet. kelapan, Maktabah Wahbah, 2008)
Kesimpulan  
Kesimpulan di sini ialah, keutamaan yang  perlu diutamakan terlebih dahulu ialah :
1.  Menubuhkan sistem gerakan dalam menaikkan pimpinan Islam. Sekiranya  tiada sistem, bagaimanakah pimpinan Islam tersebut boleh dinaikkan?  Maka, inilah yang dinamakan sebagai gerakan Islam. Maka, wajib bagi  setiap individu muslim, untuk bersama dengan gerakan ini, untuk mencegah  kemungkaran dan meninggikan Islam.
2.  Melantik pimpinan yang melaksanakan sistem Islam adalah wajib. Maka,  untuk melantik pimpinan seperti ini memerlukan kepada sistem tadi. Ia  diperlukan untuk menyelesaikan masalah buang anak, dan memastikan  maqasid syariah terpelihara. Sekiranya pimpinan ini tidak melaksanakan  Islam, kita perlu menggantikannya dengan pimpinan lain.
3.  Kemudian, barulah difikirkan untuk menubuhkan Pusat Penjagaan Bayi yang  diperbahaskan di sini. Iaitu yang selari dengan maqasid syariah.  Sekiranya bercanggah, contohnya seperti Pusat Penjagaan Bayi yang  berunsur Kristianisasi, maka perlu ditubuhkan di bawah organisasi Islam.
Ketika ini, tindakan yang perlu diambil ialah :
1.  Menggabungkan diri bersama gerakan Islam.
2. Memperjuangkan pimpinan yang  melaksanakan Islam.
3. Mencegah kemungkaran dan menegak  kemakrufan.
4. Menubuhkan Pusat Penjagaan Bayi  di bawah Islam.
Kesemua ini tidak bertembung di antara satu  sama lain. Maka lakukanlah ia sekaligus. Iaitu melaksanakan  keempat-empat perkara ini tanpa mengabaikan salah satu darinya kerana  keempat-empatnya adalah penting.
 
 
No comments:
Post a Comment