Tuesday, November 16, 2010

Hukum Hakam Korban

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman yang ertinya, Maka solatlah untuk Rabbmu dan sembelihlah haiwan.” (Qs. Al Kautsar: 2) Syaikh Abdullah Alu Bassaam menyatakan, “Sebahagian ulama ahli tafsir menyatakan; yang dimaksud dengan menyembelih haiwan adalah menyembelih haiwan korban setelah solat Ied.” Pendapat ini dinukil daripada Qatadah, Atha’ dan Ikrimah (Taisirul ‘Allaam, 534, Taudhihul Ahkaam IV/450, & Shahih Fiqih Sunnah II/366). Dalam istilah ilmu fiqih haiwan korban biasa disebut dengan nama Al Udh-hiyah yang bentuk jamaknya Al Adhaahi (dengan huruf ha’ tipis).
Pengertian Udh-hiyah
Udh-hiyah adalah haiwan ternak yang disembelih pada hari Iedul Adha dan hari Tasyriq dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah kerana datangnya hari raya tersebut (lihat Al Wajiz, 405 dan Shahih Fiqih Sunnah II/366)
Keutamaan Korban
Menyembelih korban termasuk amal salih yang paling utama. ‘Aisyah radhiyallahu’anha menceritakan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidaklah anak Adam melakukan suatu amalan pada hari Nahr (Iedul Adha) yang lebih dicintai oleh Allah melebihi mengalirkan darah (korban), maka hendaknya kalian merasa senang kerananya.” (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al Hakim dengan sanad sahih, lihat Taudhihul Ahkam, IV/450)
Hadis di atas didhaifkan oleh Syaikh Al Albani (Dhaif Ibn Majah, 671). Namun kegoncangan hadis di atas tidaklah menyebabkan hilangnya keutamaan berkorban. Banyak ulama menjelaskan bahawa menyembelih haiwan korban pada hari idul Adlha lebih utama daripada sedekah yang senilai atau seharga dengan haiwan korban, atau bahkan lebih utama daripada sedekah yang lebih banyak daripada nilai haiwan korban. Ini kerana maksud terpenting dalam berkorban adalah mendekatkan diri kepada Allah. Bukan semata-mata nilai binatangnya. Disamping itu, menyembelih korban lebih menampakkan syi’ar islam dan lebih sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. (lihat Shahih Fiqh Sunnah 2/379 & Syarhul Mumthi’ 7/521)
Hukum Korban
Dalam hal ini para ulama terbahagi dalam dua pendapat:
Pertama: Wajib bagi orang yang berkelapangan. Ulama yang berpendapat demikian adalah Rabi’ah (guru Imam Malik), Al Auza’i, Abu Hanifah, Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, Laits bin Sa’ad beserta beberapa ulama pengikut Imam Malik, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan Syaikh Ibnu ‘Uthaimin rahimahumullah. Syaikh Ibn Uthaimin menyatakan: “Pendapat yang menyatakan wajib itu nampak lebih kuat daripada pendapat yang menyatakan tidak wajib. Akan tetapi hal itu hanya diwajibkan bagi yang mampu…” (lih. Syarhul Mumti’, III/408)
Di antara dalilnya adalah hadis Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang berkelapangan (harta) namun tidak mahu berkorban maka jangan sekali-kali mendekati tempat solat kami.” (HR. Ibnu Majah 3123, Al Hakim 7672 dan dihasankan oleh Syaikh Al Albani)
Pendapat kedua menyatakan Sunnah Mu’akkadah (ditekankan). Dan ini adalah pendapat majoriti ulama iaitu Malik, Syafi’i, Ahmad, Ibnu Hazm dan lain-lain. Ulama yang mengambil pendapat ini berdalil dengan riwayat dari Abu Mas’ud Al Anshari radhiyallahu ‘anhu. Beliau menyatakan, “Sesungguhnya aku sedang tidak berkorban. Padahal aku adalah orang yang berkelapangan. Itu kulakukan kerana aku khuatir kalau tetanggaku menyangka korban itu adalah wajib bagiku.” (HR. Abdur Razzaq dan Baihaqi dengan sanad shahih).
Demikian pula dikatakan oleh Abu Sarihah, “Aku melihat Abu Bakar dan Umar sementara mereka berdua tidak berkorban.” (HR. Abdur Razzaaq dan Baihaqi, sanadnya shahih) Ibnu Hazm berkata, “Tidak ada riwayat sahih dari seorang sahabatpun yang menyatakan bahawa korban itu wajib.” (lihat Al Muhalla 5/295, dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah II/367-368, dan Taudhihul Ahkaam, IV/454).
Dalil-dalil di atas merupakan dalil pokok yang digunakan masing-masing pendapat. Jika digabungkan semuanya menunjukkan masing-masing pendapat sama kuat. Sebahagian ulama memberikan jalan keluar dari perselisihan dengan menasihatkan: “…selayaknya bagi mereka yang mampu, tidak meninggalkan berkorban. Ini kerana dengan berkorban akan lebih menenangkan hati dan melepaskan tanggungan, wallahu a’lam. (Tafsir Adwa’ul Bayan, 1120).
Yakinlah…! Bagi mereka yang berkorban, Allah akan segera memberikan ganti belanja korban yang dia keluarkan. Ini kerana setiap pagi Allah mengutus dua malaikat, yang satu berdo’a: “Yaa Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq.” Dan yang kedua berdo’a: “Yaa Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang menahan hartanya (kedekut).” (HR. Al-Bukhari 1374 & Muslim 1010).
Haiwan yang Boleh Digunakan untuk Korban
Haiwan korban hanya boleh dari jenis Bahiimatul Al An’aam (haiwan ternak). Dalilnya adalah firman Allah yang ertinya, “Dan bagi setiap umat Kami berikan tuntutan berkorban agar kalian mengingat nama Allah atas rezeki yang dilimpahkan kepada kalian berupa haiwan-haiwan ternak (bahiimatul an’aam).” (Qs. Al Hajj: 34).
Dalam bahasa arab, yang dimaksud Bahiimatul Al An’aam hanya merangkumi tiga binatang iaitu unta, lembu atau kambing. Oleh kerana itu, berkorban hanya sah dengan tiga haiwan tersebut dan tidak boleh selain itu. Bahkan sekelompok ulama menukilkan adanya ijma’ (kesepakatan) bahawasanya korban tidak sah kecuali dengan haiwan-haiwan tersebut (lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/369 dan Al Wajiz 406) Syaikh Ibnu ‘Uthaimin menyatakan, “Bahkan jika seandainya ada orang yang berkorban dengan jenis haiwan lain yang lebih mahal daripada jenis ternak tersebut maka korbannya tidak sah. Andaikan dia lebih memilih untuk berkorban seekor kuda seharga 10.000 rial sedangkan seekor kambing harganya hanya 300 rial maka korbannya (dengan kuda) itu tidak sah…” (Syarhul Mumti’ III/409)
Seekor Kambing untuk Satu Keluarga
Seekor kambing cukup untuk korban satu keluarga, dan pahalanya mencakupi seluruh anggota keluarga meskipun jumlah ahli keluarganya ramai, baik yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal. Sebagaimana hadis Abu Ayyub radhiyallahu’anhu yang menyatakan, “Pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam seseorang (suami) menyembelih seekor kambing sebagai korban bagi dirinya dan keluarganya.” (HR. at-Tirmidzi dan beliau menilainya shahih, lihat Minhaajul Muslim, 264 dan 266)
Oleh kerana itu, tidak selayaknya seseorang mengkhususkan korban untuk salah satu anggota keluarganya tertentu, misalnya korban tahun ini untuk bapanya, tahun depan untuk ibunya, tahun berikutnya untuk anak pertama, dan seterusnya. Sesungguhnya kurnia dan kemurahan Allah sangat luas maka tidak perlu dibatasi.
Bahkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berkorban untuk dirinya dan seluruh umatnya. Suatu ketika beliau hendak menyembelih kambing korban, sebelum menyembelih beliau menyatakan: “Yaa Allah ini – korban – dariku dan dari umatku yang tidak berkorban.” (HR. Abu Daud 2810 & Al Hakim 4/229 dan dishahihkan Syaikh Al Albani dalam Al Irwa’ 4/349).
Berdasarkan hadis ini, Syaikh Ali bin Hasan Al Halaby menyatakan: “Kaum muslimin yang tidak mampu berkorban, mendapatkan pahala sebagaimana orang berkorban daripada umat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.”
Adapun yang dimaksud: “…kambing hanya boleh untuk satu orang, lembu untuk tujuh orang, dan unta 10 orang…” adalah belanja pembeliannya. Belanja pembelian kambing hanya boleh daripada satu orang, belanja pembelian lembu hanya boleh dari maksimum tujuh orang dan korban unta hanya boleh dari maksimum 10 orang.
Namun seandainya ada orang yang hendak membantu shohibul korban (orang yang melakukan korban) yang kekurangan belanja untuk membeli haiwan, maka diperbolehkan dan tidak mempengaruhi status korbannya. Dan status bantuan di sini adalah hadiah bagi shohibul korban. Apakah mesti izin terlebih dahulu kepada pemilik haiwan? Jawab: Tidak mesti, kerana dalam transaksi pemberian sedekah mahupun hadiah tidak disyaratkan memberitahu kepada orang yang diberi sedekah mahupun hadiah.
Ketentuan Untuk Lembu & Unta
Seekor Lembu dijadikan korban untuk 7 orang. Sedangkan seekor unta untuk 10 orang. Dari Ibnu Abbas radhiyallahu’anhu beliau menyatakan, “Dahulu kami penah bersafar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam lalu tibalah hari raya Iedul Adha maka kami pun bergabung sepuluh orang untuk korban seekor unta. Sedangkan untuk seekor lembu kami bergabung sebanyak tujuh orang.” (Shahih Sunan Ibnu Majah 2536, Al Wajiz, hal. 406).
Dalam masalah pahala, korban lembu sama dengan korban kambing. Ertinya perkongsian 7 orang untuk korban seekor lembu, pahalanya mencakupi seluruh anggota keluarga daripada 7 orang yang ikut berkongsi itu.
Hutang Untuk Melakukan Korban
Sebahagian ulama menganjurkan untuk berkorban meskipun mesti hutang. Di antaranya adalah Imam Abu Hatim sebagaimana dikatakan oleh Sufyan Ats Tsauri dan disebutkan oleh Ibnu Katsir dalam tafsirnya (Tafsir Ibn Katsir, surat Al Hajj: 36)[1]. Demikian pula Imam Ahmad dalam masalah aqiqah. Beliau menyarankan agar orang yang tidak memiliki belanja aqiqah agar berhutang dalam rangka menghidupkan sunnah aqiqah di hari ketujuh setelah kelahiran.
Sebahagian ulama lain menyarankan untuk mendahulukan pelunasan hutang daripada berkorban. Di antaranya adalah Syaikh Ibn Uthaimin dan ulama kumpulan fatwa islamweb.net dibawah bimbingan Dr. Abdullah Al Faqih (lih. Fatwa Syabakah Islamiyah no. 7198 & 28826).
Syaikh Ibn Uthaimin menyatakan: “Jika orang mempunyai hutang maka selayaknya mendahulukan pembayaran hutang daripada berkorban.” (Syarhul Mumti’ 7/455).
Bahkan beliau pernah ditanya tentang hukum orang yang tidak jadi korban kerana wangnya diserahkan kepada temannya yang sedang terlilit hutang, dan beliau jawab: “Jika di hadapkan dua permasalahan antara berkorban atau melunaskan hutang orang faqir maka lebih utama melunasi hutang, lebih-lebih jika orang yang sedang dibelenggu hutang tersebut adalah kerabat dekat.” (lih. Majmu’ Fatawa & Risalah Ibn Uthaimin 18/144).
Namun pernyataan-pernyataan ulama di atas tidaklah saling bertentangan. Ini kerana perbezaan ini didasari oleh perbezaan dalam memandang keadaan orang yang berhutang. Sikap ulama yang menyarankan untuk berhutang ketika korban terikat dengan orang yang keadaanya mudah dalam membayar hutang atau hutang yang jatuh temponya masih panjang. Sedangkan anjuran sebahagian ulama untuk mendahulukan pembayaran hutang daripada korban terkait dengan orang yang kesulitan membayar hutang atau orang yang memiliki hutang dan pemiliknya meminta agar segera dibayar hutang tersebut.
Hukum Korban Kerbau
Para ulama’ menyamakan kerbau dengan lembu dalam berbagai hukum dan keduanya dianggap sebagai satu jenis (Mausu’ah Fiqhiyah Quwaithiyah 2/2975). Ada beberapa ulama yang secara tegas membolehkan berkorban dengan kerbau. Baik dari kalangan Syafi’iyah (lih. Hasyiyah Al Bajirami) mahupun daripada mazhab Hanafiyah (lih. Al ‘Inayah Syarh Hidayah 14/192 dan Fathul Qodir 22/106). Mereka menganggap keduanya satu jenis.
Syaikh Ibn Al Utasimin pernah ditanya tentang hukum korban dengan kerbau.
Isi Pertanyaan:
“Kerbau dan lembu memiliki perbezaan dalam banyak sifat sebagaimana kambing dengan domba. Namun Allah telah merinci penyebutan kambing dengan domba tetapi tidak merinci penyebutan kerbau dengan lembu, sebagaimana disebutkan dalam surat Al An’am 143. Apakah boleh berkorban dengan kerbau?”
Beliau menjawab:
“Jika kerbau termasuk (jenis) lembu maka kerbau sebagaimana lembu namun jika tidak maka (jenis haiwan) yang Allah sebut dalam alqur’an adalah jenis haiwan yang dikenal orang arab, sedangkan kerbau tidak termasuk haiwan yang dikenal orang arab.” (Liqa’ Babil Maftuh 200/27)
Jika pernyataan Syaikh Ibn Uthaimin kita bawa pada penjelasan ulama di atas maka boleh disimpulkan bahawa korban kerbau hukumnya sah, kerana kerbau sejenis dengan lembu. Wallahu a’lam.
Kongsi Korban Untuk Satu Organisasi
Terdapat satu tradisi di beberapa lembaga pendidikan di daerah kita, ketika idul adha tiba sebahagian universiti menggalakkan kegiatan latihan korban bagi siswa. Masing-masing siswa dikehendaki membayar sejumlah wang tertentu. Hasilnya digunakan untuk membeli kambing dan disembelih di hari-hari korban. Apakah ini boleh dinilai sebagai ibadah korban?
Perlu difahami bahawa korban adalah salah satu ibadah dalam islam yang memiliki aturan tertentu sebagaimana yang digariskan oleh syari’at. Keluar daripada peraturan ini maka tidak boleh dinilai sebagai ibadah korban, atau dengan kata mudah korbannya tidak sah. Di antara peraturan tersebut adalah masalah perbelanjaan. Sebagaimana telah dibahas sebelumnya, belanja perbelanjaan untuk seekor kambing hanya boleh diambilkan dari satu orang. Oleh kerana itu kes tradisi ‘korban’ seperti di atas tidak dapat dinilai sebagai korban. Ini kerana belanja perbelanjaan kambing diambil dari sejumlah siswa.
Berkorban Atas Nama Orang yang Sudah Meninggal?
Berkorban untuk orang yang telah meninggal dunia dapat diperinci menjadi tiga bentuk:
Orang yang meninggal bukan sebagai sasaran korban utama namun statusnya mengikuti korban keluarganya yang masih hidup. Misalnya seseorang berkorban untuk dirinya dan keluarganya sementara ada di antara keluarganya yang telah meninggal. Berkorban jenis ini dibolehkan dan pahala korbannya meliputi dirinya dan keluarganya, termasuk yang sudah meninggal.
Berkorban khusus untuk orang yang telah meninggal tanpa ada wasiat dari mayat. Sebahagian ulama mazhab Hanbali menganggap ini sebagai satu hal yang baik dan pahalanya boleh sampai kepada mayat, sebagaimana sedekah atas nama mayat (lih. Fatwa Majlis Ulama Saudi no. 1474 & 1765). Namun sebahagian ulama’ bersikap keras dan menilai perbuatan ini sebagai satu bentuk bid’ah, melihatkan tidak ada tuntutan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Tidak ada riwayat bahawasanya beliau berkorban atas nama Khadijah, Hamzah, atau kerabat beliau lainnya yang telah meninggal, mendahului beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Pendapat yang lebih kuat dalam masalah ini adalah pendapat yang menyatakan bahawa berkorban atas nama orang yang sudah meninggal secara khusus tanpa ada wasiat sebelumnya adalah tidak disyariatkan. Ini kerana Nabi r tidak pernah melakukan hal itu. Padahal beliau sangat mencintai keluarganya yang telah meninggal seperti isteri beliau tercinta Khadijah dan paman beliau Hamzah.
Berkorban khusus untuk orang yang meninggal kerana mayat pernah mewasiatkan agar keluarganya berkorban untuk dirinya jika dia meninggal. Berkorban untuk mayat untuk kes ini diperbolehkan jika dalam rangka menunaikan wasiat si mayat. (Dinukil dari catatan kaki Syarhul Mumti’ yang diambil dari Risalah Udl-hiyah Syaikh Ibn Uthaimin 51)
Umur Haiwan Korban
Dari Jabir bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah kalian menyembelih (korban) kecuali musinnah. Kecuali apabila itu menyulitkan bagi kalian maka kalian boleh menyembelih domba jadza’ah.” (Muttafaq ‘alaih)
Musinnah adalah haiwan ternak yang sudah dewasa, diambil dari kata sinnun yang ertinya gigi. Haiwan tersebut dinamakan musinnah kerana haiwan tersebut sudah ganti gigi. Adapun perincian usia haiwan musinnah adalah:
No. Haiwan Usia minimum
1. Unta 5 tahun
2. Lembu 2 tahun
3. Kambing 1 tahun
4. Domba 6 bulan (domba Jadza’ah)
(lihat Syarhul Mumti’, III/410, Taudhihul Ahkaam, IV/461)
Apakah yang menjadi acuan usianya ataukah ganti giginya?
Yan menjadi acuan haiwan tersebut boleh digolongkan musinnah adalah usianya. Ini kerana penamaan musinnah untuk haiwan yang sudah genap usia korban adalah penamaan dengan umumnya kes yang terjadi. Ertinya, umumnya kambing yang sudah berusia 1 tahun atau lembu 2 tahun itu sudah ganti gigi. Disamping itu, ketika para ulama menjelaskan batasan haiwan musinnah dan haiwan jadza’ah, mereka menjelaskannya dengan batasan usia. Dengan demikian, andaikan ada lembu yang sudah berusia 2 tahun namun belum ganti gigi, boleh digunakan untuk berkorban. Allahu a’lam.
Berkurban dengan domba jadza’ah itu dibolehkan secara mutlak ataukah bersyarat
Ulama berselisih pendapat dalam masalah ini. An Nawawi menyebutkan ada beberapa pendapat:
Pertama, boleh berkorban dengan haiwan jadza’ah dengan syarat kesulitan untuk berkorban dengan musinnah. Pendapat ini diriwayatkan dari Ibn Umar dan Az Zuhri. Mereka berdalil dengan makna zahir hadis di atas.
Kedua, dibolehkan berkorban dengan domba jadza’ah (usia 6 bulan) secara mutlak. Meskipun shohibul korban memungkinkan untuk berkorban dengan musinnah (usia 1 tahun). Pendapat ini dipilih oleh majoriti ulama. Sedankan hadis Jabir di atas dimaknai dengan makna anjuran. Sebagaimana dianjurkannya untuk memilih haiwan terbaik ketika korban.
Insyaa Allah pendapat kedua inilah yang lebih kuat. Ini kerana pada hadis Jabir di atas tidak ada keterangan terlarangnya berkorban dengan domba jadza’ah dan tidak ada keterangan bahawa berkorban dengan jadza’ah hukumnya tidak sah. Oleh kerana itu, Jumhur ulama memaknai hadis di atas sebagai anjuran dan bukan kewajipan. Allahu a’lam. (Syarh Shahih Muslim An Nawawi 6/456)
Cacat Haiwan Korban
Cacat haiwan korban dibahagi menjadi 3:
a. Cacat yang menyebabkan tidak sah untuk berkorban, ada 4 [2]:
- Buta sebelah dan jelas sekali kebutaannya
Jika butanya belum jelas – orang yang melihatnya menilai belum buta – meskipun pada hakikatnya kambing tersebut satu matanya tidak berfungsi maka boleh dikorbankan. Demikian pula haiwan yang rabun senja. Ulama’ mazhab syafi’iyah menegaskan haiwan yang rabun boleh digunakan untuk korban kerana bukan termasuk haiwan yang buta sebelah matanya.
- Sakit dan jelas sekali sakitnya. Tetapi jika sakitnya belum jelas, misalnya, haiwan tersebut kelihatannya masih sihat maka boleh dikorbankan.
- Tempang dan nampak jelas tempangnya
Ertinya pincang dan tidak boleh berjalan normal. Akan tetapi jika baru kelihatan tempang namun boleh berjalan dengan baik maka boleh dijadikan haiwan korban.
- Sangat tua sampai-sampai tidak mempunyai sumsum tulang
Dan jika ada haiwan yang cacatnya lebih parah dari 4 jenis cacat di atas maka lebih tidak boleh untuk digunakan berkorban. (lih. Shahih Fiqih Sunnah, II/373 & Syarhul Mumti’ 3/294).
b. Cacat yang menyebabkan makruh untuk berkorban, ada 2 [3]:
- Sebahagian atau keseluruhan telinganya terpotong
- Tanduknya pecah atau patah
(lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/373)
c. Cacat yang tidak berpengaruh pada haiwan korban (boleh dijadikan untuk korban) namun kurang sempurna.
Selain 6 jenis cacat di atas atau cacat yang tidak lebih parah dari itu maka tidak berpengaruh pada status haiwan korban. Misalnya tidak bergigi, tidak berekor, bunting, atau tidak berhidung. Wallahu a’lam (lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/373)
Footnotes:
[1] Sufyan At Tsauri rahimahullah menyatakan: “Dulu Abu Hatim pernah berhutang untuk membeli unta korban. Beliau ditanya: “Kamu berhutang untuk beli unta korban?” beliau jawab: “Saya mendengar Allah berfirman: لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ (kamu memperoleh kebaikan yang banyak pada unta-unta korban tersebut) (Qs. Al Hajj: 36). (lih. Tafsir Ibn Katsir, surat Al Hajj: 36)
[2] Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ditanya tentang cacat haiwan apa yang mesti dihindari ketika berkorban. Beliau menjawab: “Ada empat cacat…dan beliau berisyarat dengan tangannya.” (HR. Ahmad 4/300 & Abu Daud 2802, dinyatakan Hasan-Shahih oleh Turmudzi). Sebahagian ulama menjelaskan bahawa isyarat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan tangannya ketika menyebutkan empat cacat tersebut menunjukkan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam membatasi jenis cacat yang terlarang. Sehingga yang bukan termasuk empat jenis cacat sebagaimana dalam hadis boleh digunakan sebagai korban. (Syarhul Mumthi’ 7/464)
[3] Terdapat hadis yang menyatakan larangan berkorban dengan haiwan yang memilki dua cacat, telinga terpotong atau tanduk pecah. Namun hadisnya dlo’if, sehingga sebahagian ulama menggolongkan cacat jenis kedua ini hanya menyebabkan makruh dipakai untuk korban. (Syarhul Mumthi’ 7/470)
http://muslim.or.id/fiqh-dan-muamalah/panduan-ibadah-korban-bahagian-1.html

No comments:

Post a Comment