Sunday, September 18, 2011

hukum onani masturbasi istimta'

Assalamualaikum, Apakah Hukum melakukan onani?


Berikut adalah jawapan yang pernah diberikan oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi :-


Kadang-kadang darah pemuda bergelora, kemudian dia menggunakan tangannya untuk mengeluarkan mani supaya alat kelaminnya itu menjadi tenang dan darahnya yang bergelora itu menurun. Cara semacam ini sekarang dikenal dengan nama onani (bahasa Arabnya: istimta’ atau adatus sirriyah).


Kebanyakan para ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antaranya Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang berbunyi:

“Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas.” (Al-Mu’minun: 5-7)

Sedang orang yang onani adalah melepaskan syahwatnya itu bukan pada tempatnya.


Sedang Ahmad bin Hanbal berpendapat, bahawa mani adalah barang lebihan. Oleh karena itu boleh dikeluarkan, seperti memotong daging lebih.


Pendapat ini diperkuat oleh Ibnu Hazm. Tetapi ulama-ulama Hanafiah memberikan Batas kebolehannya itu dalam dua perkara:

1. Karena takut berbuat zina.

2. Karena tidak mampu kawin.


Pendapat Imam Ahmad ini memungkinkan untuk kita ambil dalam keadaan gharizah (nafsu syahwat) itu memuncak dan dibimbangkan akan jatuh ke dalam haram. Misalnya seorang pemuda yang sedang belajar atau bekerja di tempat lain yang jauh dari negerinya, sedang pengaruh-pengaruh di hadapannya terlalu kuat dan dia bimbang akan berbuat zina. Karena itu dia tidak berdosa menggunakan cara ini (onani) untuk meredakan bergeloranya gharizah tersebut dan supaya dia tidak berlaku zina.


Tetapi yang lebih baik dari itu semua, ialah seperti apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap pemuda yang tidak mampu berkahwin, iaitu kiranya dia memperbanyak puasa, dimana puasa itu dapat mendidik beribadah, mengajar bersabar dan menguatkan kedekatan untuk bertaqwa dan keyakinan terhadap penyelidikan (muraqabah) Allah kepada setiap jiwa seorang mu’min. Untuk itu Rasuluilah s.a.w. bersabda sebagai berikut:


“Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan; tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelindung.” (Riwayat Bukhari)

Dipetik dari kitab al-Halal wal Haram fil Islam


Walaupun demikian, berikut adalah ulasan lanjut saya ( sila buka ) :-

Terlalu banyak persoalan berkenaan onani ini. Kotak email dan ruangan komentar di web saya ini juga tidak terlepas dari pertanyaan seumpama ini. Ada sebahagiannya terpaksa saya dan admin ‘delete’ kerana bahasa dan bentuk soalannya yang kurang sesuai.

Antara soalan-soalannya :-

1) “ …ustaz, saya ada masalah yang menimpa diri saya semalam iaitu saya telah melakukan onani di siang hari bulan ramadhan.”

2) “Assalammualaikum… Saya sudah berumur 24 tahun, saya sering beronani sebelum ini sehinggakan dalam satu hari pernah saya buat perkara keji ini sampai 3 kali oleh sebab terasa ghairah melihat perempuan yang seksi.

3) “Saya tidak dapat menahan lalu saya melihat gambar porno untuk memuaskan nafsu saya dengan cara beronani. Dan ini pernah berlaku pada siang hari di bulan ramadhan.apa yang saya perlu buat dan apakah hukumnya serta hukumannya.”

4) “Saya juga ada masalah pasal onani ni oleh kerana terlalu menyesal dah perbuatan saya, saya telah bernazar untuk berpuasa 1 hari bagi setiap kali saya beronani.“

5) “Salam..ustaz adakah beronani perlu mandi wajib? apa bezanya air mazi dan mani?adakah kedua2 tu ada pada perempuan? harap ustaz dapat jelaskan.terima kasih”

6) “Salam, saya sudah berkahwin tetapi tinggal berjauhan dengan isteri..kadang kala apabila teringatkan isteri saya, saya merasa ghairah dan kadang kala sehingga melakukan onani..apakah hukumnya?”


Sebeban Alasan

Dalam masa yang sama, adakalanya terlalu banyak pula alasan dan sebab yang diberikan oleh si penanya dengan harapan saya atau mana-mana individu yang ditanya akan mengatakan harus baginya.

“Seolah-olah ingin menjadikan kita sebagai jambatannya ‘ke neraka’, then kat akhirat dok tuding jari kepada kita” kata seorang rakan saya yang juga seorang penceramah aktif di Lembah Klang.

Selain hukum khas bagi perbuatan tidak sihat ini. Lebih dari itu, kebanjiran soalan-soalan sebegini menyebabkan saya menjadi semakin bimbang dengan keadaan umat Islam di Malaysia terutamanya.


Virus Bermula

Ia secara langsung menunjukkan umat Islam samada lelaki dan wanita sedang menghidap sindrom lemah kawalan nafsu syahwat seksual terhadap perkara nafsu syahwat yang haram.

Melayani syahwat dengan cara haram adalah salah satu punca kehancuran kemanisan solat, tanpa kemanisan solat, runtuhlah ‘tiang agama’ dalam diri seseorang, tatkala itu nafsu kebinatangan dan syaitan akan mula menguasai sehingga lahirlah manusia binatang seperti pembunuh Nurin Jazlin dan lain-lain.


Terdapat hadis yang mengingatkan melayani syahwat mata kepada yang haram sahaja akan menghancurkan kelazatan dan kemanisan iman.

ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها

Ertinya : Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita (aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah s.w.t akan memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya (Riwayat Ahmad & At-Tabrani , Ibn kathir, 3/283, Ibn Kathir & Al-Munziri : Dhoif dan Ibn Kathir berkata , boleh diguna dalam hal galakkan)


Juga disebut dalam sebuah athar :

النظر سهم مسموم من سهام إبليس

Ertinya : “Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis” ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma’ani, 22/7)

Malah ia juga bakal merosakkan hati :-

كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله

Ertinya : Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t” ( at-taysir bi Syarhi al-Jami’ as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)

Ketahuilah saudara-saudariku, melayani onani merupakan permulaan kehancuran hati seseorang. Merupakan salah satu permulaan kepada zina.


Ia sering diwarwarkan kononnya sebagai penyelamat dari zina, hakikatnya ia juga merupakan pintu mula kepada zina.

Ia adalah pintu mula seseorang berjinak dengan melayani nafsu syahwat seksual mereka tanpa menurut arahan Allah dan RasulNya. Nafsu yang tidak dikawal ini adalah sentiasa meminta lebih dan lagi, akhirnya akan menjerumus kepada menonton gambar pornografi, video, mengintai dan ditamatkan dengan zina yang tiada had kepuasannya. Memang itu sifat nafsu syahwat samada seksual ataupuan harta. Sekali ia dilayan, tiada lagi pintu puas.


Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu :-

لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ

Ertinya : Sekrianya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan diperutnya tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )


Demikian juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu penyakit dalaman yang serius. Saya cuba memperkemaskan huraian berkenaan onani walaupun jawapan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi terhadap masalah Onani yang telah saya siarkan di web ini.


Kesimpulan pandangan terkuat oleh pelbagai kumpulan ulama mendapati bahawa hukum Onani adalah : -

1) satu perbuatan yang haram, tetapi ia bukanlah satu jenis dosa besar seperti zina, rasuah, riba, membunuh dan sebagainya.

Ia dianggap melepaskan nafsu bukan pada tempatnya, ia adalah ditegah oleh Allah s.w.t :-

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Ertinya : “dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap istri-istri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; Barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. ( Al-Mukminun : 5-7)


Allah menyifatkan orang yang memuaskan nafsunya dengan cara selain dengan isteri atau suami yang sah sebagai :-

a) Malumin : Ertinya : “tercela”

b) Al-’adun : Ertinya : ” orang-orang yang melampaui batas”


2) Hukum dosa ini sememangnya boleh berubah menjadi tidak berdosa sekiranya ia dilakukan dalam keadaan dharurat iaitu di ketika tanpa melakukan seseorang akan PASTI terjerumus dalam kancah zina.


Perlu diingat dharurat di sini hanya adalah di ketika ‘pasti akan terjerumus’ iaitu tatkala kemudaratan zina itu benar-benar BOLEH BERLAKU seperti ia telah tahu di mana boleh mendapatkan pelacur, bohsia atau teman wanitanya, punyai tempat yang strategik untuk maksiat dan lain-lain.


Maksud saya, jika sekadar ia rasa ingin berzina sahaja tetapi ia tidak punyai teman wanita, ia tidak pernah tahu di mana mahu melanggani pelacur, atau kesimpulan tiada mempunyai idea sebenarnya bagaimana ingin merealisasikan niat jahat berzinanya, disamping masih tidak yakin ia boleh terjerumus ke lembah sehina itu. Hukum keringanan (rukhsah) sementara akibat terdesak dan bagi mengelak zina yang disebutkan oleh sebahagian ulama itu TIDAK boleh dipakai sewenang-wenangnya.


3) Hukum dosa ini boleh menjadi bertambah besar apabila ia menjadi tabiat dan amalan kebiasaan disebabkan tindakannya sendiri seperti menjadi kegemarannya untuk melihat gambar dan video lucah. Akibat dari tindakannya itu, ia terdorong ingin berzina lalu beronani. Tatkala itu, tindakan onaninya bukan lagi terdesak tetapi dirinya sendiri yang sengaja mendorong kepada terdesak itu.

Ia berbeza dengan seseorang yang terangsang syahwat akibat ternampak dan sukar mengelakkan pandangan matanya dari permandangan kurang elok di tempat kerja atau dalam perjalanannya ke tempat kerja dan pulang.


4) Hukum dosa atau haram melakukan onani bagi lelaki dan wanita juga menjadi bertambah serius apabila dapat disahkan perbuatan onani tadi mempunyai kesan negatif kepada kesihatan.


Bagi menguatkan fatwa hukum, kenyataan doktor sakit tuan, Dr.Ismail Thamby boleh dijadikan panduan fakta iaitu :-

1) kesan buruk kepada kehidupan seksual apabila berumahtangga

Beliau menyebut :-

Jika anda lakukan onani secara luar biasa seperti melakukan rangsangan seksual secara kasar dan kuat untuk mengecapi klimaks, mungkin apabila beristeri, anda akan mendapati bersetubuh dengannya tidak memberi kepuasan seperti anda kecapi secara onani.

Masalah ini dikenali sebagai ‘Traumatic Masturbatory Syndrome’. Yang menimbulkan masalah ialah onani mengakibatkan klimaks anda berlaku dengan cepat, yang jika berterusan dan diamalkan akan mengakibatkan anda tidak dapat bertahan lama apabila mengadakan hubungan seksual sebenar.

2) Tahap kesihatan kemaluan boleh terjejas hingga Mati Pucuk

Beliau menyebut :-

Selain itu, jika agak ganas dengan cara merangsang anggota sulit anda sehingga mengakibatkan anggota itu sakit dan bengkak, kemungkinan satu hari anda akan mengalami mati pucuk apabila kerosakan lama menunjukkan kesannya.

Ini kerana anggota sulit adalah organ vaskular dan tidak boleh diurut atau dirangsang dengan keras. Ia hanya sesuai untuk dirangsang melalui salur faraj perempuan.

3) Boleh Mandul kerana kerosakan buah zakar lelaki

Beliau berkata :

Namun, saya ingin mengingatkan yang kerosakan buah zakar boleh berlaku pada bila-bila masa ketika melakukan onani, dan jika ia berlaku dan menjejaskan kilang sperma, sudah tentu anda akan mandul kerana sperma tidak lagi dihasilkan ‘kilang’.

Sebagai contoh, anda melakukan onani dalam keadaan tidak terkawal seperti pengaruh alkohol, menyebabkan tidak tahu atau sedar ketika itu anda teragut buah zakar atau mencederakan buah zakar.

Anda hanya menyedari selepas beberapa lama yang buah zakar anda menjadi semakin kecil atau bengkak, dan jika kilang sperma terjejas, anda akan menjadi mandul.


Sudah tentu perkara yang menyeronokkan sukar untuk dihentikan, kecuali berlaku sesuatu perkara yang memudaratkan seperti keradangan buah zakar, kecederaan zakar seperti kebengkakan zakar.

Bagaimanapun, ia sudah terlewat jika tiada cara perawatannya. Mungkin jika zakar terkulai, bengkok atau patah, ada cara rawatan seperti pemulihan dengan pembedahan atau penggunaan alat pemulih.

Namun, jika kilang sudah rosak dan buah zakar mengecil, tiada penawarnya. Jadi cuba kurangkan amalan onani, terutama secara kasar. Anda perlu ingat, anda hanya ada satu zakar, bukan sepasang. Jika zakar itu tidak berguna, hidup anda merana selama-lamanya!


Rujukan


Penutup

Sebagai akhirnya, antara fungsi Ramadhan adalah mendidik hati dan diri agar mampu mengawal nafsu berikut :-

1) Nafsu marah apabila Nabi menegah kita dari melayani ajakan pergaduhan semasa berpuasa.

2) Nafsu makan dan minum. Apabila kita di tegah makan dan minum di siang hari.

3) Nafsu tidur. Apabila kita dianjurkan untuk bangun sahur.

4) Nafsu Syahwat. Apabila kita diarahkan untuk elakkan ‘bersama’ isteri di siang hari Ramadhan.

Amat diharapkan Ramadhan yang baru berlalu dapat menghasilkan kemampuan kekangan segala nafsu melampau dalam hal yang disebut di atas.


Teringat saya kepada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Prof. Dr Sano Qutoub Mustafa ( Prof Syariah di UIAM ) pada 19 Oktober yang lalu. Beliau mengatakan “jika keadaan iman dan amalan anda selepas Ramadhan adalah sama atau lebih teruk dari sebelumnya, ia adalah tanda anda tidak mendapat keampunan Allah pada bulan Ramadhan yang lalu”


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


Saturday, August 13, 2011

Dr Yusuf Qardawi: Keperluan Ahli Gerakan Masa Kini

Kebangkitan Islam yang Diinginkan

Sejak bermulanya semarak kebangkitan Islam pada awal 70-an dan 80-an, al-Qaradawi sentiasa memberi bimbingan kepada generasi muda Islam mengenai kebangkitan Islam dengan memberi pandangan dan ijtihad gerakan.

Beliau juga melibatkan diri dalam proses ekonomi Islam dengan menjadi ahli penasihat kepada Bank Faisal dan institusi-institusi kewangan lain. Beliau menjelaskan antara penyakit umat Islam yang berlawanan dengan sifat fitrah manusia ialah al-Ghalu (fanatik) kerana perjalanannya tidak akan panjang serta mengabaikan hak-hak orang lain.

Al-Qaradawi mengakui bahawa beliau sentiasa mengambil berat tentang masalah kebangkitan Islam yang telah menjadi isu utama dalam penulisannya lantaran kepentingan masa kini serta masa depan umat Islam. Keperluan ini amat mendesak untuk memastkan kebangkitan ini tidak melemahkan dan tidak melencong dan tidak menyimpang. Kebangkitan ini tidak seharusnya tergendala di tengah jalan. Oleh itu, beliau menggariskan sepuluh langkah menuju kematangan kebangkitan Islam atau membimbing kebangkitan Islam dari zaman kekeliruan kepada pencerahan. Sepuluh langkah yang diutarakannya ialah :

1. Dari format dan simbol kepada hakikat dan “sabstance”

Ada di antara manusia yang memerhatikan aspek luaran yang bersifat formaliti daripada isi kandungan, hanya mementingkan bentuk bukan pada hakikat. Seolah-olah yang penting adalah memanjangkan janggut, memendekkan pakaian, membawa siwak, mengharamkan semua jenis lagu dan mewajibkan pemakaian purdah untuk wanita. Oleh itu, umat Islam perlu mencurahkan perhatiannya kepada substansi dan roh ajaran Islam daripada format dan bentuk. Islam sebagai akidah substansinya adalah tauhid, sebagai ibadat substansinya adalah keikhlasan, sebagai tuntutan moral substansinya adalah kasih sayang, sebagai syariat substansinya adalah keadilan, sebagai peradaban substansinya adalah keseimbangan. Maka sesiapapun yang menghilangkan unsur-unsur substansi tersebut turut menghilangkan substansi Islam walaupun ia berpegang kuat kepada simbol dan bentuk tersebut. Al-Qaradawi membawa contoh golongan yang suka kepada pengetahuan teori semata-mata, terlalu banyak bergelut dengan hal yang mengundang perbezaan daripada yang menjadi kesepakatan dalam topik keimanan kepada Allah. Seolah-olah yang harus dilakukan oleh seseorang manusia agar memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah bagaimana ia menghafal pelbagai istilah dan teori tersebut.Oleh itu, beliau menyeru supaya hanya ibadat hati yang perlu didambakan. Mereka perlu mencurahkan usaha untuk meraih hal itu dengan cara beriman, bertawakal dan mengharap rahmat-Nya. Menurutnya, banyak pendakwah Islam melupakan aspek ini yang merupakan substansi agama serta bahagian terpenting daripada keimanan.Mereka lebih mementingkan perbuatan kasar yang dilakukan oleh tubuh badan.Hal semacam itu memang penting tetapi ia tidak bermakna apabila tidak disertai dengan perbuatan hati. Padahal perbuatan hati ini merupakan asas mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.

2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan

Di antara sikap negative yang perlu dihindari ialah bangga dengan sejarah lampau tanpa mengubahnya dalam bentuk tindakan demi memperbaiki keadaan masa kini dan mengembangkannya ke arah yang lebih baik. Membicarakan sejarah masa lalu adalah baik selagi ia mendorong untuk terus memacu kejayaan itu. Kita harus mencipta kejayaan dan tidak harus hanya berbangga dengan sejarahnya sahaja. Termasuk dalam sikap ini juga ialah tenggelam dalam kenangan pahit lalu tidak melakukan usaha positif untuk mengatasinya atau mengatasi kemungkinan berulangnya tragedi yang sama, membicarakan kesalahan orang lain, perdebatan yang tidak sihat dalam persoalan yang tidak memberi apa-apa faedah selain kesombongan diri dan membuang waktu. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk melakukan amalan yang lebih baik dan memiliki matlamat dan tujuan yang jelas. Orang Islam tidak pernah hidup tanpa tujuan serta tidak melakukan sesuatu secara melulu. Kita harus menentukan jalan untuk menuju matlamat tersebut sesuai dengan keadaan dan kemampuan yang kita miliki. Al-Qardawi mengkritik golongan yang mencurahkan perhatian utama kepada bidang politik semata-mata dengan melupakan bidang pemikiran, pendidikan dan sosial. Begitu juga golongan yang hidup di menara gading di dalam dunia teori yang idealistik dan tidak pernah turun ke medan masyarakat untuk bertindak. Begitu juga anggapan tentang satu-satunya perbuatan yang terbaik adalah bidang ketenteraan melawan musuh.

3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.

Seorang muslim pasti dapat mengawal perasaan dan meletakkan akal pada tempatnya. Ia berfikir secara rasional dan ilmiah,ia tidak bersikap ekstrem dalam mencintai dan membenci, tenggelam dalam dunia khayalan dan kecenderungan untuk bergantung kepada niat semata-mata tanpa berusaha untuk memerhatikan perkara yang benar. Manifestasi sikap emosional ini juga adalah sikap melupakan sunnatullah yang berlaku ke atas alam dan kehidupan manusia, berlebih-lebihan dalam menggambarkan sesuatu baik yang bersifat material ataupun kerohanian.Oleh itu, gerakan Islam perlu bangun dalam tradisi ilmiah dan perencanaan masa depan. Gerakan Islam perlu membebaskan diri daripada kecenderungan emosional dan apologetik kepada rasional, objektif dalam menilai sesuatu aktiviti, memahami realiti dan sejarah dalam menentukan sesuatu keputusan. Antara ciri-ciri ilmiah ialah melihat segala sesuatu kejadian dan perkataan secara objektif tanpa terpengaruh dengan identiti pelakunya, menghormati kepakaran seseorang dalam bidangnya, mampu melakukan muhasabah diri dan mengakui kesalahan yang terlanjur serta berusaha mengambil pengajaran daripadanya dan menghormati adab perbezaan pendapat. OIeh itu, beliau menyeru agar semangat ilmiah terus subur dalam gerakan Islam dan menjadikan pola berfikir berdasarkan ilmu aspek yang dominan dalam semua aspek kehidupan mereka. Pandangan ilmiah dijadikan sebagai ukuran penentu dalam mengeluarkan pandangan dan keputusan gerakan. Orang yang beriman hidup dalam keadaan keyakinan, menolak perasaan sangkaan dan mengikut taklid buta atau sikap gaya jumud.

4. Dari orientasi masalah cabang dan remeh menuju masalah pokok dan utama

Menurut al-Qaradawi perkara utama gerakan Islam kini ialah bidang pemikiran dan kebudayaan, bidang pendidikan dan kaderisasi. Pada hematnya, ramai aktivis gerakan Islam menyibukkan diri dalam perkara-perkara sunat dan larangan yang bersifat makruh sehinggakan tidak ramai yang menitikberatkan perintah yang bersifat fardu atau larangan-larangan yang bersifat haram. Orang Islam perlu memperuntukkan fikiran dan waktu untuk melaksanakan perkara-perkara yang wajib dahulu, barulah amalan sunat. Dalam ketentuan wajibpun, ia harus memilih antara yang paling wajib, wajib sahaja dan seterusnya. Antara kesilapannya ialah bersikap keras dalam masalah sunat sehingga menganggapnya sebagai wajib serta mengutamakan ibadat sunat daripada ibadat fardu. Gerakan Islam perlu keluar dari lingkungan persoalan khilafiyah yang mengandungi potensi polemik kepada persoalan-persoalan yang disepakati bersama sehingga boleh merumuskannya menjadi agenda yang besar. Perkara yang merosakkan iklim kebangkitan Islam adalah adanya golongan yang cenderung memberi perhatian kepada persoalan-persoalan yang tidak disepakati oleh para ulamak dalam masalah penghalalan atau pengharaman. Mereka menjadikan persoalan khilafiah ini sebagai ukuran dan penilaian terhadap tindak tanduk sesama manusia. Seolah-olah perkara khilafiah ini merupakan pokok keimanan dan landasan utama ibadat seperti hukum memanjang atau memendekkan janggut, memendek atau memanjangkan pakaian, posisi tangan ketika solat, hukum lukisan dan fotografi dan status hukum memakai hijab dengan menutup wajah wanita. Menurut al-Qaradawi perkara ini berlaku disebabkan mereka menganggap pendapat yang mereka pegang dalam masalah khilafiah sebagai kebenaran yang tidak mungkin salah, kurang memperhatikan persoalan-persoalan agama yang telah disepakati, suka berdebat dan menyakiti orang lain sehingga memecah-belah umat, takabbur dan bangga pada diri sendiri yang merupakan titik tolak kepada kehancuran diri.

5. Dari menyulitkan dan ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira

Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara ‘mempersulit’ adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan. Al-Qaradawi membawa dalil al-Quran bagi menyokong hujahnya seperti ayat al-Baqarah, ayat 185, al-Ma’idah ayat 6, al-Anfat, ayat 66. Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan. Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Tidak ada tempat untuk kita menghiburkan diri dengan cerita-cerita malapetaka hari kiamat, mengatakan dunia Islam seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela.Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik

Oleh Dr Rumaizuddin





Friday, August 12, 2011

Keperluan Kesatuan Fikrah dan Amal Umat Islam


Kesatuan Ummah adalah harapan para pejuang Islam yang ikhlas dalam perjuangan. Ini adalah pasti. Kesatuan ummah amat diperlukan untuk membina kekuatan umat Islam masa kini.

Sekarang pula wujud kepelbagaian jemaah Islam, sama ada di dalam Malaysia atau di peringkat antarabangsa. Tidak dinafikan, setiap jemaah ada ciri dan kelebihan tersendiri yang membezakannya dengan jemah-jemaah Islam yang lain. Walau bagaimanapun, perbezaan yang wujud adalah akibat perbezaan cara berfikir dan berijtihad (berdasarkan nas, sudah pasti) dan metod dakwah yang digunakan oleh sesebuah gerakan Islam.

Perbezaan JIM, ABIM, Hizbut Tahrir, Tabligh dan beberapa gerakan Islam yang lain dengan gerakan Islam PAS adalah penglibatan PAS secara langsung di dalam medan politik tanah air. Ini perbezaan ketara antara PAS dan gerakan-gerakn Islam yang lain kerana gerakan Islam lain menafikan penglibatan mereka secara terus di dalam medan politik kepartian di Malaysia.

Saya tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya PAS juga akan mengikut jalan seperti jalan-jalan dakwah yang dilalui oleh NGO-NGO Islam yang lain.

Siapakah yang akan berusaha mendaulatkan Islam secara berhadapan dengan parti-parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan mereka yang berpolitik?

Siapa yang akan menjadi suara dominan yang mempertahankan kesucian Islam melalui perundangan-prundangan atau dasar-dasar yang diputuskan di dalam dewan mulia Parlimen?

Adakah NGO-NGO Islam berpeluang untuk duduk dikerusi Parlimen dan mempertahankan kesucian serta menyebarkan dakwah Islam di dalam dewan Parlimen? Sudah tentu tidak, kerana mereka tidak terlibat dengan politik kepartian dan layak untuk menjadi calon.

Ini berbeza dengan PAS yang merupakan wadah keberlangsungan dakwah Islam di tanah air Malaysia yang mengguankan politik sebagai salah satu wasilah disamping wasilah-wasilah dakwah yang lain.

Dari pengamatan saya, dalam situasi semasa, PAS mampu menjadi wadah penyatuan ahli-ahli gerakan Islam dari pelbagai jemaah atau gerakan-gerakan Islam yang lain untuk bersama-sama mempertahankan Islam di Malaysia daripada musuh-musuh Islam. Kekuatan umat Islam dari pelbagai pecahan jemaah Islam yang lain harus di salur dakn diperkasakan melalui satu tanzim yang tersusun. Adalah tidak releven untuk mewujudkan gerakan Islam yang baru untuk menentang musuh-musuh Islam melalui medan politik kepartian sedangkan sudah ada yang berjuang melaluinya. Apa yang perlu sekarang adalah kesatuan ummah.

Ya, dari sudut jemaah masing-masing, ada metod pentarbiyyahan dan dakwah tersendiri, sedikit berbeza dari satu dengan yang ain, tapi yang pastinya, untuk melihat syariat Allah tertegak di diri setiap muslim dan bumi Malaysia adalah menjadi impian da cita-cita bagi setiap gerakan Islam yang wujud. Boleh sahaja, pada saya, setiap gerakan Islam memainkan peranan dengan melaksanakan amal-amal islami melalui gerakan Islam masing-masing, tetapi untuk penyatuan yang lebih besar dan lebih utama, adalah diharapkan agar ahli-ahli gerakan Islam dari pelbagai gerakan Islam lain utuk berpayung di bawah satu payung yang diharapkan mampu menjalankan syariat slam secara syumul di bumi Malaysia melalui medan politik tanah air.

Saya ingin memetik salah satu bab atau pelajaran oleh Ustaz Sa’id Hawwa di dalam bukunya, ‘Beberapa pelajaran Dalam Amal ISlami 1′:

PERLUNYA MENCARI SUATU CORAK PENYUSUNAN DEMI UNTUK

HARAKAH ISLAMIYYAH YANG SATU

Allah Subhanahu Wata‘ala memerintahkan kepada orang-orang Islam supaya mereka menjadi seperti tangan yang satu. FirmanNya di dalam Al Qur’an:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (ugama) Allah, dan jangan berceraiberai.”

(Surah Ali-Imran: Ayat 103)

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar

dan hilang kekuatan.”

(Surah Al-Anfal: Ayat 46)

Orang-orang Islam secara keseluruhannya berkewajipan untuk bekerja bagi melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata’ala ini. Tetapibagaimanakah dapat kesemua orang-orang Islam di dalam sesuatu negeri bersatu sehingga menjadi seperti tangan yang satu, dan bagaimanakah pula seluruh orang-orang Islam di dalam suatu daerah dapat bersatu sehingga menjadi seperti tangan yang satu; dan bagaimana pula semua orang-orang Islam di dalam sesuatu benua atau di seluruh dunia dapat bersatu menjadi seperti tangan yang satu, menjadi blok yang satu?

Sesungguhnya kita berkewajipan untuk mencari dan memeriksa corak-corak penyusunan ( الصيغ التنظيمية ) yang dengannya matlamat di atas, dapat dicapai, serta berkewajipan memeriksa dan mencari individu-individu yang dapat bergerak ke arah pencapaian matlamat-matlamat ini. Begitu juga kita berkewajipan menyelidiki halangan-halangan yang merintangi usaha-usaha ke arah ini sehingga dapat kita membersihkannya. Orang-orang Islam tidak akan lemah dengan fadilat Allah untuk mencapai satu tahap yang sempurna di dalam usaha ini. Dan mereka mestilah bersatu buat mengahadapi sesiapa sahaja yang menghalang dan terlaksananya suruhan ini. Sesungguhnya di antara perkara-perkara yang membantu kita ke arah ini adalah dengan adanya langkah-langkah permulaan penyusunan yang tunggal di kalangan orang-orang Islam.

Oleh itu hendaklah wujud kesedaran Islam ( وعي الاسلامي ) yang luas terhadap apa yang semestinya kita kerjakan. Telah pun kita perkatakan dan Insyã’ALlah akan kita perkatakan lagi di dalam kitab ini sesuatu yang dapat membantu kita dalam usaha ke arah pencapaian matlamat-matlamat yang disebutkan di sini adalah merupakan satu ijtihad yang boleh diperbahaskan Ianya bukanlah merupakan satu-satunya corak yang tunggal, malah corak yang paling istimewa sekali adalah sesuatu yang dihasilkan melalul perbahasan dan sesuatu yang dilahirkan oleh pengalaman. Apa yang perlu ialah setiap orang-orang Islam menghulurkan tangan masing-masing kepada satu sama lain dan mendapatkan tahap minima dan maksima supaya kesemuanya dapat dipertemukan.

Ingatlah, selagi mana seluruh orang-orang Islam tidak dapat disusun dan selagi mana penyusunan-penyusunan Islam tidak dapat bertemu pada matlamat—matlamat yang tertentu, maka sesungguhnya satu pengabaian yang sangat merbahaya telah berlaku. Untuk itu orang-orang Islam perlu memiliki ‘aqal yang menyusun ( العقلية المنظمة )di mana ‘aqliyyah ini mampu melahirkan suatu tanzim yang sihat dan yang mampu kelahirkan perubahan-perubahan; semuanya ini mestilah bermula dari sekarang. Tanpa kesemuanya ini, kedudukan orang kafir akan bertambah kukuh dan lebar betapa ngerinya natijah di masa hadapan : Betapa sukarnya untuk mengelakkan bencana ini dan betapa banyak pula dosanya…


Ini antara saranan beliau untuk melihat umat Islam dapat bersatu, dalam konteks sekarang, kepelbagaian gerakan Islam agar dapat bersatu untuk merealisasikan matlamat Islam yang jelas dan besar. Tindakan ke arah penyatuan ini memerlukan kelapangan dada untuk menerima kepelbagaian perbezaan pandangan yang bersifat furu’ akan tetapi adalah perlu untuk disatukan dari sudut fikrah dan amal secara menyeluruh.

Sebelum ini atau sekarang, mungkin wujud secara rasmi atau tidak rasmi hebahan-hebahan kononnya ‘jemaah sekian-sekian dipihak kita’ atau ‘jemaah sekian-sekian puak sana’. Ini adalah apa yang selalu didengari. Walau bagaimanapun, saya belum melihat wujudnya kesepakatan yang konkrit untuk menyatukan amal Islami mengikut kepakaran dan kebolehan masing-masing. Kesatuan kehebatan umat Islam dari pelbagai ahli jemaah-jemaah Islam, masih belum dapat dilihat secara jelas pada ketika ini. Yang ada hanyalah kritikan dari jauh, rendah-merendahkan jemaah lain dan yang seangkatan dengannya.

Secara peribadi, saya ada keinginan yang tinggi untuk melihat bersatunya gerakan-gerakan Islam serta ahli-ahlinya di bawah satu payung utama sebagai jalan awal untuk melihat kejayaan umat Islam bersatu di dalam satu wadah, fikrah dan amal. Dari sudut NGO, memang bergerak ikut perancangan, tetapi sangat diharapkan agar perancangan tersebut dapat mencapai matlamat yang besar dan tidak ‘clash’ atau langsung jauh dari keutamaan yang perlu dicapai. Kesepaduan ini hanya dapat dicapai melalui berlakunya kesepaduan yang besar untuk capai matlamat yang lebih jelas.

Bersediakan kita bersatu?

P/S: Belajar berlapang dada dengan perbezaan pandangan sesama ahli gerakan Islam, tetapi ukhwah tetap dijaga, sifat tajarrud tetap terpelihara.

Abbas Iecothinker

W. P. Labuan